Polisi Hijau Pelabuhan Kuantan


Pelabuhan Kuantan mengisytiharkan komitmen Pelabuhan Kuantan terhadap kelestarian alam sekitar melalui POLISI HIJAU PELABUHAN KUANTAN. Polisi ini merupakan panduan kepada pembangunan dan pengoperasian Pelabuhan yang selamat, mampan, pintar dan berdaya maju secara komersial untuk tempoh 2021 – 2030.

Polisi Hijau Pelabuhan Kuantan menggariskan pelan jangkamasa panjang dalam memastikan pembangunan Pelabuhan Kuantan seiring dengan komitmen Kerajaan dalam konteks kecekapan penggunaan tenaga, kemampanan ekosistem Pelabuhan serta memperhebatkan digitalisasi di Pelabuhan Kuantan selaras dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Bagi menyokong usaha pembangunan mampan di Pelabuhan Kuantan, beberapa inisiatif telah dan sedang dijalankan antaranya ialah mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 30% dengan menggunakan jentera yang lebih mesra alam seperti Rubber Tyred Gantry hibrid, mengehadkan kemasukan kenderaan di dalam kawasan Pelabuhan dan menaik taraf pengoperasian pelabuhan dengan menggunakan automasi di Terminal Laut Dalam Pelabuhan Kuantan. Pelabuhan Kuantan juga dalam proses untuk merangka beberapa lagi inisiatif Pelabuhan Hijau seperti shore power supply bagi mengurangkan penggunaan diesel oleh kapal yang berlabuh serta memperbanyakkan penggunaan tenaga solar di Pelabuhan Kuantan.